Seperti yang kita sedia maklum, kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja, tiada seorang pun yang dapat menghalangnya dan tiada seorang pun yang dapat mengandaikan dirinya akan hidup lama. Orang muda tidak boleh optimis bahawa dia akan hidup lama, kerana semua orang tahu kematian itu tidak bertarikh, bayi dalam kandungan ibunya pun boleh menemui ajalnya sebelum dilahirkan dan begitu juga kesihatan yang dikawal rapi tidak akan memanjangkan usia seseorang... Segalanya telah ditentukan Oleh Allah SWT...
Manusia tidak diturunkan ilmu untuk membongkar rahsia roh dan mati. Orang sering mengaitkan kematian itu dengan sakit atau sesuatu tragedi, tetapi adakah kita terfikir, kenapa orang yang sihat pun boleh menemui ajal dalam sekelip mata sahaja ? Jesteru itu, persoalan kematian adalah urusan Allah Ta'ala sebagaimana yang dijelaskan dalam Surah Al-Isra ayat 85 yang bermaksud:
'Dan mereka bertanya kepadamu ( Muhammad ) tentang roh, katakanlah: Roh itu termasuk urusan Tuhanku'
surah al-Isra ayat 85
Jesteru itu persoalan roh adalah dalam kawalan Allah SWT, ketika manakah Allah hendak meniupkan roh kepada bayi dalam kandungan, atau bilakah dia hendak mencabut roh dari jasad manusia. Semuanya bergantung dengan kehendak Allah SWT... Apabila Allah mengatakan jadi, maka jadi lah ia... Kun Fayakun...
Oleh kerana kematian itu datang tanpa memberitahu terlebih dahulu, jd ia sepatutnya memberi pengajaran kepada manusia agar menggunakan masa yang ada dengan perkara-perkara yang berfaedah tanpa membazirkan umur walau sesaat dengan cara tidak menangguhkan sebarang kerja atau kewajipan yang difardhukan, kerana tidak pasti adakah nafas yang dihembuskan sebentar tadi akan dapat ditarik kembali dan adakah hari esok masih ada untuknya...
Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadithnya menyebut;" Jadikan Solat yang kamu dirikan itu sebagai solat yang terakhir dalam hidupmu". Dalam hadithnya yang lain Rasulullah juga ada menjelaskan "Beramallah untuk akhirat kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari".
Jika kita mendirikan solat atau ibadah seolah-olah kematian akan menjelang esok hari tentulah akan dilakukan dengan sebaik-baiknya kerana apabila solat atau ibadah yang dilakukan itu cacat dan tidak memenuhi rukun serta syarat-syarat yang selayaknya, maka solat dan ibadah itu pasti ditolak oleh Allah s.w.t dan tidak ada masa atau pun peluang untuk memperbaikinya semula. Apabila malaikat maut telah menjemput kita, maka putuslah segala ikhtiar , solat yang cacat itu kekal dengan kecacatannya tanpa dapat diperbaiki lagi sebab itulah Yazid Ar-Raqash pernah tanya kepada dirinya sendiri: Siapakah yang akan menggantikan solat yang cacat itu setelah malaikat maut menjemput? Jawabnya tentulah tidak ada seorang pun yang dapat melakukannya, melainkan dia bergantung harap kepada solat dan ibadah yang telah dilakukan sama ada cacat atau sempurna.
Apabila kematian itu sentiasa dalam ingatan, ia akan mendorong seseorang itu melakukan sesuatu ibadah dengan cermat dan khusyuk. Berusaha mencari punca-punca yang menghalang terjadinya khusyuk di dalam solat dan ibadah yang lain, mendalami ilmu yang berhubung dengan solat dan lain-lain ibadah kerana melakukan ibadah tanpa ilmu akan sia-sia.
Antara perkara yang boleng menghalang terjadinya khusyuk dalam solat antaranya tidak memahami setiap perkara atau kalimah yang diucapkan, sama ada lafaz yang wajib seperti bacaan Al-Fatihah dan sebagainya. Mereka hanya menghafal setiap kalimah yang terkandung di dalam solat dan mengucapkannya setiap kali ibadah solat dilakukan.
Sesiapa yang melakukan solat seperti itu, ianya tidak akan mencapai khusyuk kerana hati mereka tidak dapat menghayati maksud-maksud yang terkandung dalam kalimah-kalimah yang diungkapkan. Setiap kalimah yang dibacanya itu sekadar memenuhi syarat atau rukun yang telah ditetapkan oleh Fiqh, sedangkan segala pengertian yang terkandung di dalam setiap bacaan di dalam solat itulah yang akan menambat hati serta ingatan seseorang yang sedang mendirikan solat.
Oleh yang demikian, semua orang Islam mestilah memahami setiap perkataan yang diucapkan di dalam solat mereka, supaya hati dan jiwanya terikat dengan maksud perkataan yang dituturkan oleh lidahnya sendiri. Apabila hati terikat dengan makna bacaan, maka tidak ada peluang untuk hati lalai merayau merata-rata sehingga tidak lagi mengingati Allah s.w.t sedangkan diantara tujuan solat itu adalah untuk mengingati Allah s.w.t.
Marilah kita bersama-sama merenung kembali, dimanakah tahap kekhusyukan solat yang telah kita lakukan selama ini. Adakah sudah cukup bekalan yang akan dibawa ke sana? semoga setiap amalan yang telah kita lakukan selama ini diterima oleh Allah s.w.t ......
Tiada ulasan:
Catat Ulasan