Bertaubat merupakan suatu kewajiban yang amat berat, ia ibarat memperbaiki sesuatu yang sudah hancur binasa. Jesteru itu, sebelum kehidupan seseorang itu rosak binasa, maka sebaiknya sentiasalah berwaspada dalam menjaga dan mengawasinya kepada apabila telah hancur binasa maka sukarlah untuk memperbaikinya.
Tidak juga boleh dinafikan bahawa terlalu sukar untuk melakukan sesuatu taubat, sebab itulah nilai taubat itu terlalu mahal harganya di sisi Allah s.w.t kerana syurga Allah juga amat tinggi nilainya. Syurga tidak boleh dicapai sekadar dengan usaha sambil lewa sahaja, demikian juga neraka Allah tidak mudah dihindar selagi dosa tidak dihapus.
Walaupun sukar untuk memperbaiki keadaan diri yang sudah terjerumus ke lembah dosa, namun Allah telah mengadakan peraturan syariat yang mampu dilakukan oleh manusia. Dalam usaha menyelesaikan persoalan dosa, manusia sentiasa menerima tawaran dari Allah secara berterusan, pintu taubat terus terbuka dan Allah menjanjikan pengampunan walaupun dosa hambanya memenuhi bumi...
Apabila seseorang itu telah melakukan taubat dengan bersungguh atas segala kesalahan serta yang dilakukannya, bermakna usaha itu telah memenuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan maka Allah sentiasa menerima taubat hamba-Nya. Dan apabila Allah telah menerima taubat hamba-Nya bererti telah bersihlah semua dosa, ibarat kain kotor yang sudah dicuci dengan bahan pembersih dan dibilas dengan air yang jernih sehingga hilang sebarang kekotoran yang melekat pada kain tersebut. Tetapi setiap orang yang bertaubat itu mestilah berusaha menjanya, ibarat menjaga kain bersih dari pencemaran. Bermaksud dengan menjaga keimanan dan aqidah yang benar berserta dengan amal dan soleh. Kerana dengan cara itu sajalah seseorang itu dapat mengekalkan kebersihan dari dosa setelah melakukan taubat nasuha sehingga benar-benar menjadi orang bertaqwa.
Perlu diingat, walaupun Allah telah menerima taubat seseorang dan dihapuskan segala dosanya, tetapi dosa-dosa itu kadang kala seperti daki yang melekat pada tubuh manusia sekalipun dia sering membersihkan badan dengan cara mandi beberapa kali dalam sehari namun kekotoran daki akan sentiasa ada.
Kesimpulannya, setiap manusia hendaklah sentiasa berwaspada dari sebarang gejala yang boleh mendatangkan dosa dan segeralah membersihkan dosa dengan istighfar dan taubat setiap kali kita merasakan telah melakukan dosa... Sekian.